Sunday, February 1, 2009

PERTEMUAN YANG SUKAR

Setelah berkahwin dan beranak pinak, amat sukar untuk mengumpulkan adik beradikku seramai tujuh orang dalam waktu yang sama. Namun, satu yang berharga, pertemuan ini dapat direalisasikan semasa perkahwinan adik bongsuku pada Disember 2008 lalu.

Emaklah orang yang paling gembira dan terharu apabila melihat anak-anak dan cucunya yang seramai 17 orang dapat berkumpul di bawah satu bumbung selepas kali terakhir semua dapat berjumpa 10 tahun lalu dengan pertambahan ahli keluarga baru.

Selepas ini, entah bila lagi keluarga ini dapat berkumpul seperti ini. Masing-masing sibuk dengan keluarga dan kerjaya serta merantau di pelbagai tempat. Hari Raya pun agak sukar untuk bersama, inikan pula cuti sekolah. Pada masa-masa bersama inilah baru kita menghargai ikatan kekeluargaan yang penuh dengan pelbagai ragam, kerenah dan tentunya kasih sayang. Semoga ikatan ini terus terjalin erat walaupun jarang berjumpa, ibarat jauh di mata dekat di hati dan air dicincang takkan putus. sALaM SAYAnG SeMUA!

Friday, January 30, 2009

PENGALAMANKU

Sedar tak sedar, tahun ini masuk tahun kedua aku berkelana di Semenanjung Malaysia demi menyahut seruan tugas. Sebelum berpindah, rasa berat hati untuk meninggalkan bumi Borneo, tanah kelahiranku. Bermacam-macam perkara bermain di minda dan menyesakkan fikiran. Alhamdulillah, rupanya betullah seperti pepatah, tak kenal maka tak cinta; jauh perjalanan, luas pemandangan.

Suamiku selesa dengan tugasnya sebagai guru di Cyberjaya. Begitu juga dengan anak-anakku. Memang jauh berbeza pengalaman yang mereka dapat di sini berbanding di Sabah. Peluang mereka menerokai dunia baru amat luas terbentang sama ada dari segi pelajaran, aktiviti sosial dan juga rakan-rakan sebaya.

Memang pada awal perpindahan, banyak masalah yang dihadapi. Tambahan pula keluarga tak dapat turut serta kerana faktor pertukaran suami. Aku terpaksa bertahan tinggal bersendirian di sini. Nasib baik, aku ada adik-adik yang sudi memberi ruang dan sokongan untuk aku mengharungi semuanya. Inilah harga yang perlu ku bayar demi untuk kepentingan karierku.

Kini, aku dan keluarga semakin menyesuaikan diri dengan kehidupan baru kami. Padaku, semuanya boleh kita hadapi dengan syarat keluarga ada bersama. Merekalah penyeri kehidupan dalam susah dan senang. Terima kasih suamiku atas sokongan dan galakan yang tak pernah jemu. Anak-anakku, jadilah insan berguna dan berjasa kepada agama, bangsa dan negara serta kedua ibubapa. Terima kasih kerana memahami!