Friday, January 30, 2009

PENGALAMANKU

Sedar tak sedar, tahun ini masuk tahun kedua aku berkelana di Semenanjung Malaysia demi menyahut seruan tugas. Sebelum berpindah, rasa berat hati untuk meninggalkan bumi Borneo, tanah kelahiranku. Bermacam-macam perkara bermain di minda dan menyesakkan fikiran. Alhamdulillah, rupanya betullah seperti pepatah, tak kenal maka tak cinta; jauh perjalanan, luas pemandangan.

Suamiku selesa dengan tugasnya sebagai guru di Cyberjaya. Begitu juga dengan anak-anakku. Memang jauh berbeza pengalaman yang mereka dapat di sini berbanding di Sabah. Peluang mereka menerokai dunia baru amat luas terbentang sama ada dari segi pelajaran, aktiviti sosial dan juga rakan-rakan sebaya.

Memang pada awal perpindahan, banyak masalah yang dihadapi. Tambahan pula keluarga tak dapat turut serta kerana faktor pertukaran suami. Aku terpaksa bertahan tinggal bersendirian di sini. Nasib baik, aku ada adik-adik yang sudi memberi ruang dan sokongan untuk aku mengharungi semuanya. Inilah harga yang perlu ku bayar demi untuk kepentingan karierku.

Kini, aku dan keluarga semakin menyesuaikan diri dengan kehidupan baru kami. Padaku, semuanya boleh kita hadapi dengan syarat keluarga ada bersama. Merekalah penyeri kehidupan dalam susah dan senang. Terima kasih suamiku atas sokongan dan galakan yang tak pernah jemu. Anak-anakku, jadilah insan berguna dan berjasa kepada agama, bangsa dan negara serta kedua ibubapa. Terima kasih kerana memahami!